Wednesday, November 11, 2009

Bai'ah Talak Tiga merendahkan martabat manusia


YB Khalid Samad

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan isu "Bai'ah Talak Tiga" yang didedahkan oleh wakil Pas, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad. Bai'ah yang dimaksudkan ialah akujanji seorang suami jika menyertai parti selain Pas, maka akan jatuh talak tiga ke atas isterinya. Mungkin bagi sesetengah pihak perkara ini merupakan satu retorik pihak tertentu namun isu talak bukan satu perkara yang boleh dipermain-mainkan. Perkara ini sekali lagi dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu dari Keadilan, Zulkifli Nordin bahawa Bai'ah Talak merupakan satu perkara yang tidak masuk akal dan mempertuhankan politik. Agak menyedihkan jika ia telah lama menjadi amalan dalam sebuah parti politik yang memperjuangkan Islam tapi menjadikan Bai'ah sebagai dasarnya.

Keadaan ini menggambarkan seolah-olah kita sedang kembali ke zaman jahiliah dimana wanita menjadi barang dagangan, pajakan dan gadaian. Islam amat mementingkan adab. Adab dalam Islam memberi keistimewaan yang mulia kepada wanita. Teringat kata-kata dalam filem Cinta arahan Allahyarham Yasmin Ahmad, "isteri bukannya hak milik tapi satu anugerah". Dialog yang jujur ini menyedarkan kita bahawa ijab dan qabul dalam perkahwinan tidak sekali-kali dapat menghalalkan suami untuk melakukan perkara yang boleh menghina seorang isteri apatah lagi meletakkan martabat dan kehormatan isteri ditempat yang tidak sepatutnya.

Harus dipersetujui bahawa Bai'ah sememangnya wujud dalam perkahwinan Islam. Contohnya, dalam ijab dan qabul. Qabul merupakan bai'ah suami isteri dan akad taklik merupakan akujanji suami supaya tidak meninggalkan isteri terlalu lama tanpa nafkah dan khabar, bukti bahawa Islam amat menghormati wanita dan itu pun cuma jatuk talak satu! Jika Bai'ah Talak Tiga seperti ini terus diamalkan dikhuatiri wujud amalan bertentangan dalam agama kerana perkara seperti ini sudah tentunya tidak pernah diamalkan oleh Rasulullah S.A.W. yang amat menyayangi isterinya Khadijah R.A. dan Aisyah R.A. Mungkin ada yang tidak faham istilah syurga isteri di bawah telapak kaki suami. Itu tidak bermakna suami boleh melakukan dasarnya sesuka hati tanpa ada budi bicara berlandaskan akal yang waras. Mungkin mereka lupa, di bawah telapak kaki suami masih ada tanah dan bumi yakni milik Allah S.W.T.

Ingatlah, setiap kurniaan Tuhan pasti ada hadnya. Gunakanlah hati yang diciptakan dengan kasih sayang dan akal yang masih cerdas untuk membuat keputusan yang adil dan bijaksana. Matlamat tidak menghalalkan cara. Pihak yang mengamalkan Bai'ah ini perlulah kembali bermuhasabah diri agar tidak dibuai emosi dan berpasakkan ketaksuban politik yang boleh menghancurkan masa depan keluarga dan keturunan.

Martabat manusia telah diletakkan begitu tinggi berbanding makhluk yang lain, usahlah kita merendahkan martabat itu dengan perkara-perkara yang 'mental' seperti itu. Pemimpin parti tersebut perlu kehadapan memberi kenyataan tentang perkara ini yang diketahui sudah lama diamalkan dan menyatakan pendirian sebenar mereka. Majlis Fatwa juga perlu segera berbincang sama ada Bai'ah seperti itu dibenarkan oleh syara', adakah pihak yang mengadakan Bai'ah tersebut terikat seperti Bai'ah Taklik dan adakah cara untuk membatalkan sumpah Bai'ah seperti ini. Sama-samalah kita fikirkan. Family First! - copyright by ampangtaiping@blogspot.com

0 comments: