Pada 26 Oktober 2009, kita dikejutkan dengan kejadian jambatan runtuh yang mengakibatkan 22 orang murid sekolah hilang di Kuala Dipang, daerah Kampar, Perak. Murid terbabit adalah antara 298 murid dari 60 sekolah rendah dari Kampar, Tronoh dan Batu Gajah yang menyertai aktiviti kokurikulum Perkhemahan 1 Malaysia anjuran Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kinta Selatan.
Dimaklumkan bahawa terdapat antara 30 hingga 50 orang murid yang berada di atas jambatan yang baru dua minggu siap dibina tersebut namun lebih 20 orang murid sempat berpaut pada tali jambatan dan ada yang diselamatkan oleh guru dan pengawal sekolah berdekatan. "Jambatan bergoyang-goyang kerana ada murid yang melompat dan bermain ketika kami melintas," kata seorang murid yang terselamat K Mathivanan, 12 menceritakan saat jambatan gantung itu runtuh. Sehingga waktu ini kerja-kerja mencari dan menyelamat masih dijalankan.
Bagi yang pernah mengkaji tentang bencana alam, Kuala Dipang memang pernah dikatakan sebagai kawasan ‘berhantu’ kerana kejadian-kejadian pelik yang pernah berlaku sebelum ini.
Peristiwa ini mingingatkan kita kepada tragedi banjir lumpur di Pos Dipang yang berlaku ada 29 Ogos 1996, kira-kira jam 6 petang. Tragedi ini mengorbankan 39 nyawa dan lima lagi dilaporkan hilang. Lebih 40 buah rumah dihanyutkan oleh banjir lumpur yang secara tiba-tiba menghempas kawasan tersebut.
Sebelum itu, pada 11 Mei 1961, beribu tan tanah runtuh di atas sederet kedai yang berada di kaki bukit pekan Ringlet berdekatan kawasan ini. Kejadian itu meragut 16 nyawa yang rata-ratanya adalah pelanggan kedai.
Pada bulan Oktober tahun 2004 pula, kita dikejutkan lagi dengan peristiwa tanah runtuh yang mengakibatkan banjir lumpur di lebuhraya PLUS berdekatan Gua Tempurung, tidak jauh dari Kuala Dipang. Dalam kejadian ini seorang pemandu kereta cedera parah apabila kenderaannya ditimbus dan dihanyutkan oleh tanah runtuh.
Banyak persoalan yang timbul daripada tragedi yang berlaku. Persoalan sama ada kontraktor lalai dalam membina struktur mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan, ada yang mengutuk kerakusan manusia menggondolkan bukit dan projek pembalakan di kawasan tersebut sehingga menjejaskan struktur tanah yang diperlukan di kawasan tadahan hujan. Namun musibah yang berlaku pasti ada sebabnya, jawapannya tetap ada, sama ada ia mampu dicapai oleh akal kita atau sebaliknya terpulang kepada penilaian masing-masing.
Kejadian-kejadian yang berlaku mengajar kita banyak perkara. Ia mengajar kita agar sentiasa rasa tawaduk dan rendah diri terhadap kebesaran Ilahi. Sebijak manapun kita menguasai teknologi, membina bangunan menongkat langit dan memasak bumi, jangan kita bongkak dan angkuh dengan pencapaian kita. Kita sering meneriak bahawa kitalah juara pembangunan yang tiada taranya. Kita jarang bersyukur dengan nikmat Allah. Malah kadang kala tanpa kita sedar kita menghina hukum Ilahi dengan perkataan dan tingkahlaku kita. Syukur bukan sekadar di bibir. Ianya harus dimahkotakan dengan amalan dan tindakan yang membuktikan kepatuhan kita kepada Allah.
Iktibar juga kepada kontraktor dan mereka yang terlibat dalam bidang pembinaan. Kerja kita adalah ibadah jika ianya dilakukan dengan penuh rasa tanggungjawab, tiada unsur penipuan, dan tidak meletakkan keuntungan sebagai matlamat mutlak. Kekukuhan binaan, keselamatan pengguna, pemeliharaan alam ciptaan Ilahi harus juga menjadi keutamaan. Elakkan tragedi berulang dengan perubahan dari hati yang ikhlas. Salam takziah buat ahli keluarga mangsa jambatan runtuh Kuala Dipang. Tulus daripada Amin & Nabilah @ ampangtaiping.blogspot.com
Wednesday, October 28, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment