Sunday, October 4, 2009

Kalau nak bercinta...


Kata orang, saat bercinta anda boleh melakukan apa sahaja kerana si dia sangat menyayangi anda. Tetapi anda harus berhati-hati, bukan semua perkara boleh dilakukan sesuka hati.

Jika anda tidak mahu si dia berkecil hati dengan sikap anda, jangan sekali-kali melakukan perkara di bawah ini. Jika anda melakukannya juga, tidak mustahil perhubungan yang telah dibina sejak sekian lama itu akan terlerai di pertengahan jalan.

Jalan terbaik, lebih baik anda berdiam diri dan menyemai cinta abadi bersama si dia.

1. Jangan suka membandingkan
Tiada sesiapa di dunia ini yang suka diperbandingkan dengan sesiapa sahaja. Lebih nahas jika anda cuba membandingkan kekasih hati anda dengan jejaka atau gadis lain terutamanya bekas kekasih yang pernah bersama dengan kamu sebelum ini. Perbandingan yang anda lakukan sebenarnya mampu mengguris hati si dia sekaligus mengganggu kelancaran perhubungan anda. Sebaiknya, terima dirinya dengan seadanya dan lupakan kisah cinta yang pernah anda jalinkan bersama insan lain.

2. Jangan menipu
Di dalam sesebuah perhubungan, sikap saling mempercayai dan jujur antara satu sama lain sangat dipentingkan. Jika anda selalu menipu dan akhirnya diketahui oleh si dia, sudah pasti si dia tidak akan mempercayai anda lagi. Sekalipun dia memaafkan anda, rasa terluka pasti akan sentiasa bermain-main di dalam jiwanya. Jalan terbaik jangan sekali-kali berbohong walaupun ada ketikanya hakikat yang diterima sangat menyakitkan. Sesiapa sahaja sukakan insan yang jujur untuk mendampingi mereka.

3. Jangan berahsia
Sebagai pasangan kekasih, anda seharusnya mengelakkan sikap berahsia dengan si dia. Sikap yang terlalu suka berahsia kebiasaannya akan membawa kepada penipuan dan akhirnya kecurangan. Oleh itu, di dalam hubungan cinta, cubalah minimumkan kerahsiaan anda dengan si dia. Sikap terbuka yang anda pamerkan sudah pasti memberikan rasa gembira kepada si dia.

4. Jangan lupa hari penting dirinya
Si dia mungkin tidak mengharapkan hadiah mahal daripada anda. Cukuplah sekadar sekeping kad ucapan sebagai tanda anda mengingatinya. Kalau anda seorang yang pelupa, catatkan hari-hari penting si dia di dalam diari dan berikan sedikit kejutan buatnya. Kirimkan sekuntum bunga pada hari bahagianya. Kuntuman bunga itu sudah pasti mampu membuatkan bibir si dia tersenyum bangga sepanjang hari.

5. Jangan mulakan pertengkaran
Jika asyik bergaduh, siapa yang akan tahan. Oleh itu jangan sekali-kali memulakan pertengkaran. Apatah lagi untuk isu-isu yang kecil serta remeh-temeh. Cuba bersikap matang dan berikan peluang kepada si dia untuk memberikan penjelasan. Andainya timbul perselisihan atau pertengkaran dalam perhubungan, tidak salah jika anda beralah. Selesaikan ketidaksefahaman dengan tenang. Jika si dia masih ‘panas’, tunggu masa yang sesuai untuk berbincang.

6. Jangan mengongkong
Pada hari ini semua orang keluar bekerja untuk mencari rezeki. Oleh sebab itu jangan sekali-kali anda mengongkong pergerakannya. Jika sekali-sekala dia mahu menghabiskan masa bersama rakan-rakannya, beri keizinan. Sikap anda yang bijak bertolak ansur bukan sahaja amat disenanginya, malah rakan-rakan baiknya juga senang hati dengan perhubungan yang terjalin antara si dia dan anda.

7. Jangan terlalu cemburu
Tidak salah untuk cemburu, tetapi biarlah bersebab. Sikap cemburu yang membabi-buta kadang-kala akan menghancurkan sesuatu ikatan. Usahlah terlampau cemburu sehingga dia tidak merasa bebas untuk melakukan aktiviti yang digemarinya. Jika anda terus dengan sikap cemburu itu, bersedialah anda untuk kehilangan insan tersayang.

8. Jangan berpura-pura
Usahlah keterlaluan menguji cintanya terhadap anda. Sikap anda yang keterlaluan mungkin akan memakan diri. Bukan semua orang boleh bertahan apabila selalu diuji. Lambat laun pasti si dia akan bertindak meninggalkan anda kerana dia beranggapan anda tidak mempercayai dirinya. Paling teruk jika si dia sudah tawar hati dengan anda. Sudah pasti sukar untuk dipujuk lagi.

9. Jangan tunjukkan rasa bosan
Mungkin anda tidak suka dengan hobinya, tetapi jangan sekali-kali menunjukkan sikap bosan di hadapannya. Sebaiknya anda cuba semaikan sikap meminati aktiviti yang disukainya itu. Lebih baik jika anda dapat bersama-samanya melakukan aktiviti tersebut. Dengan cara itu anda bukan sahaja dapat menarik perhatiannya, malah secara tidak langsung mampu mengawal pergerakan si dia. Maklumlah anda mempunyai hobi dan minat yang sama. Tidak mustahil kawan-kawan anda juga serupa.

10. Jangan menjatuhkan air mukanya
Elakkan melakukan perbuatan yang boleh menjatuhkan air mukanya secara sengaja ataupun tidak sengaja. Jika anda secara tidak sengaja melakukannya, segeralah meminta maaf apabila anda menyedarinya. Paling penting jangan ulangi kesilapan serupa kerana si dia pasti bosan dengan tingkah laku anda yang agak kasar itu.

0 comments: