Sunday, February 14, 2010

Kesihatan - Skoliosis





Baru-baru ini seorang klien telah datang ke pejabat bertemu dengan saya untuk berbincang mengenai keadaan anak perempuannya yang berumur 14 tahun yang telah disahkan mengidap masalah tulang belakang dan bagaimana polisi insurans yang dicarum dapat membantu membiayai kos perubatan berjumlah RM 35,000 yang terpaksa ditanggung olehnya.

Sebagai ibu bapa, pasti amat sedih apabila mengenangkan kesihatan anak kesayangan yang terganggu akibat masalah tulang belakang yang amat jarang dialami oleh masyarakat di Malaysia. Apa yang saya kesalkan, ejen insurans beliau tidak menawarkan polisi yang betul dengan memasukkan keperluan kad perubatan yang boleh menanggung segala kos perubatan yang perlu disediakan. Sebaliknya ejen tersebut hanya mencadangkan pelan simpanan pendidikan yang tidak banyak membantu apabila mengalami situasi sebegini.

Walaupun kesal dengan keadaan tersebut, beliau bersyukur kerana masih diberikan kekuatan untuk menghadapi situasi yang amat kritikal ini. Sebelum perbincangan berakhr, kami telah bersetuju untuk sama-sama mengkaji tentang penyakit yang dihadapi oleh anak beliau sebagai penduan untuk masyarakat menilai dan bersedia dari segi kewangan, moral dan informasi dalam menghadapi situasi yang mencabar bagi diri sendiri, anak dan keluarga tersayang.

Hasilnya, saya ingin berkongsi dengan pelawat blog ini tentang risiko sakit tulang belakang yang dimaksudkan iaitu skoliosis.


Tulang belakang normal dan tidak normal (Scoliosis)

Tulang belakang yang membengkok atau skoliosis, bukanlah satu penyakit. Ia sebaliknya rujukan yang digunakan bagi menjelaskan keadaan bengkok yang berlaku pada tulang belakang.

Secara umumnya, tulang belakang secara semula jadi sememangnya bengkok sedikit bagi membantu bahagian atas badan mengekalkan keseimbangan jajaran pelvik. Bagaimanapun, apabila terlalu bengkok, inilah yang dimaksudkan sebagai skoliosis.

Remaja perempuan lebih kerap dikesan dengan masalah skoliosis, terutama jenis idiopathik skoliosis iaitu satu keadaan tulang belakang yang membengkok tanpa diketahui sebabnya dan berlaku sejak kecil lagi. Tulang belakang yang membengkok ini pula membentuk seakan-akan huruf C atau pun S.

Lazimnya, ia membabitkan kawasan bahagian atas belakang atau bahagian antara atas belakang dan bawah belakang badan. Bagaimanapun, ia juga mungkin hanya berlaku pada bawah belakang.

Pakar Runding Ortopedik Hospital Pakar Shah Alam, Dr Ariff Sukimin Mohd Shukri, berkata dalam beberapa jenis kes skoliosis, idiopatik skoliosis adalah yang paling biasa dikesan.

“Ia kerap kali dikesan di kalangan kanak-kanak berusia 10 hingga 16 tahun. Walaupun lelaki dan perempuan memiliki kecenderungan yang sama untuk berdepan dengan skoliosis, tetapi remaja perempuan lebih kerap dikesan dengan idiopathik skoliosis,” katanya.

Untuk remaja lelaki, masalah tulang belakang yang membengkok memerlukan pemeriksaan lanjut, malah skoliosis di kalangan lelaki ada kalanya memaparkan komplikasi daripada masalah lain.

Dr Ariff berkata, andai dibiar tanpa rawatan, waktu paling berisiko bagi pesakit ialah ketika mencecah usia akil baligh, kerana ketika itu pertumbuhan tulang pesakit sangat pantas.

Walaupun skoliosis umumnya mudah dikesan, tetapi bagi kes yang tidak teruk, seseorang itu hanya menyedari kelainan pada tulang belakangnya selepas membuat imbasan sinar-X ketika pemeriksaan kesihatan.

“Bagi kes yang tidak teruk, skoliosis mungkin boleh ditangani dengan terapi tetapi bagi kes serius, individu yang bermasalah itu perlu menjalani pembedahan,” katanya.

Kata Dr Arif, bagi kebanyakan kes yang membabitkan kanak-kanak perempuan, masalah tulang bengkok yang tidak dirawat akan menjadi semakin teruk. Tulang akan semakin membengkok apabila pesakit itu semakin membesar sekali gus menjejaskan penampilan dan pergaulan sosial penghidapnya.

“Mengesan skoliosis mudah. Apabila pesakit membongkok, belakang badannya tidak selari. Tulang belakang yang membengkok akan menonjol,” katanya.

Selain itu, mereka yang berhadapan dengan masalah skoliosis mengalami masalah sakit belakang yang kronik, kaki pendek sebelah, selain bahu juga tinggi sebelah dan pinggul yang tidak selari.

Pesakit yang tidak mendapat rawatan akan-akan semakin menderita seiring usianya. Tulang belakang bengkok menjejaskan jantung dan paru-paru dan menyukarkan pernafasan. Skoliosis yang progresif akan menjejaskan bahagian bawah tulang belakang (lumbar spine).

Pembedahan selalunya jalan terakhir apabila tulang belakang yang membengkok itu tidak boleh dipulihkan dengan terapi. Bagaimanapun, kosnya sangat mahal kerana memerlukan implan dipasang pada hampir sepanjang tulang belakang.

Namun begitu, kini terdapat pelbagai cara dan rawatan alternatif yang boleh merawat dan membetulkan tulang belakang. Terdapat pelbagai alat sokongan atau 'brace' yang dicipta untuk membantu menyokong keadaan tulang belakang supaya kembali lurus. Brace yang dimaksudkan khusus untuk membetulkan tulang lumbar yang menyebabkan skoliosis. Antara brace yang terdapat dipasaran dikenali sebagai SpineCor Brace, Thoraco-Lumbo-Sacral-Orthosis (TLSO) Brace (Boston Brace), Charleston Bending Brace dan Cervico-Thoraco-Lumbo-Sacral-Orthosis Brace (Milwaukee Brace).

Brace yang terbaru diperkenalkan adalah SpineCor Brace, dikeluarkan oleh sebuah syarikat alat perubatan berpengkalan di Switzerland. Pemasangan brace jenis ini tidak memerlukan sebarang pembedahan (dipasang setelah pembedahan asas pembentukan tulang dilakukan) kerana ia hanya melibatkan sokongan luaran berbanding brace keluaran syarikan yang lain. Namun, kos yang diperlukan agak tinggi iaitu sekitar RM 9,000.

Menurut pemerhatian saya, brace jenis ini hanya dibekalkan di hospital-hospital swasta. Hospital kerajaan biasanya menggunakan Boston Braces, sejenis alat sokongan buatan UK, yang memaksa pembetulan tulang belakang yang boleh menyebabkan kesakitan jika pesakit tersalah pergerakan.



Boston Brace

Kosnya pula agak murah namun dikhuatiri pesakit perlu bersedia menghadapi kesan jangka panjang atau pembedahan susulan untuk memastikan kedudukan tulang kembali normal. Berbanding penggunaan SpineCor Brace, pembetulan bentuk tulang belakang akan berlaku secara semulajadi tanpa perlu diberi tekanan.


SpineCor Brace

Dengan SpineCor, pesakit boleh melakukan aktiviti harian (kecuali berenang) dengan mudah dan pada masa yang sama tiada siapa yang boleh mengesan pesakit memakainya atau tidak kerana ia tidak tebal atau keras. Jika pesakit menggunakan Boston Braces, pergerakan pesakit adalah terhad dan pesakit akan kelihatan bergerak seperti robot. Aktiviti harian mereka juga terbatas.

Justeru, kita harus bersedia menghadapi kemungkinan ini. Maklumat yang mencukupi adalah perlu supaya kita boleh mendapatkan rawatan yang terbaik tanpa perlu melayani perkara-perkara yang tidak positif yang boleh memberi kesan jangka panjang dalam kehidupan kita.

Pesakit perlu mendapat pandangan kedua (second opinion) daripada doktor yang berbeza kerana dikhuatiri terdapat kepentingan atau prosedur tertentu yang telah ditetapkan oleh pihak hospital yang tidak mewakili kepentingan kita untuk mendapat perkhidmatan atau produk yang terbaik. Pilihan kedua (second choice) juga perlu, yang merupakan manifestasi kepada hak kita sebagai pesakit untuk memilih produk yang betul tanpa melibatkan paksaan untuk membuat pilihan yang kurang tepat, untuk kehidupan yang lebih harmoni dan selesa.


Ibubapa perlu prihatin dengan anak yang mengalami Scoliosis

Rujukan:
Scolliosis Specialist
Brace for Scoliosis

1 comments:

Unknown said...

Perkenalkan, saya dari tim kumpulbagi. Saya ingin tau, apakah kiranya anda berencana untuk mengoleksi files menggunakan hosting yang baru?
Jika ya, silahkan kunjungi website ini www.kumpulbagi.com untuk info selengkapnya.

Di sana anda bisa dengan bebas share dan mendowload foto-foto keluarga dan trip, music, video dll dalam jumlah dan waktu yang tidak terbatas, setelah registrasi terlebih dahulu. Gratis :)