Thursday, March 4, 2010

Peranan Suami Ketika Isteri Hamil


Apabila ditanya kepada golongan lelaki tentang peranan mereka bila mendapati isteri yang disayangi hamil, rata-rata mengakui tahu tentang peranan yang harus dipikul.

Namun hakikatnya, tidak ramai lelaki yang benar-benar faham akan peranan mereka. Ini kerana emosi atau 'mood' wanita hamil selalunya lebih sensitif dan mereka sangat memerlukan perhatian daripada suami.

Di sini diperturunkan beberapa tip buat lelaki muda yang akan atau bakal berdepan dengan situasi di mana isteri berbadan dua. Diharapkan dengan panduan ini, golongan lelaki lebih tahu tentang peranan serta cara menghadapi karenah isteri yang pastinya pelbagai hingga mampu mencabar kesabaran mereka sebagai seorang suami.

1. Kongsi maklumat kehamilan

Kehamilan membawa perubahan kepada isteri, baik secara fizikal ataupun emosi. Isteri yang dahulunya lincah dan segar, akan mula mudah penat, pening dan muntah-muntah.

Sikapnya juga semakin sensitif, mudah menangis dan marah walaupun untuk perkara yang anda rasakan tidak perlu. Kepada lelaki, anda jangan sekali-kali bingung dengan perubahan ini. Ini kerana ia merupakan sesuatu yang normal dan kebanyakan wanita hamil akan melaluinya.

Walaupun berlaku perubahan pada isteri anda, itu tidak bermakna anda tidak boleh banyak membantu. Sebagai seorang suami yang memahami, carilah sebanyak mungkin info tentang perubahan fizikal dan emosi yang dialami oleh isteri.

Selepas itu, cuba kongsi pengetahuan anda dengannya. Dia pasti teruja dengan apa yang anda ketahui. Perhatikan juga perkembangan kehamilan isteri anda, misalnya mendengar denyut nadi dan merasai pergerakan-pergerakan yang dilakukan oleh bayi.

Sekiranya anda mampu melakukannya, tidak mustahil sikap anda yang pada mulanya kurang sabar dengan karenah isteri akan berubah menjadi lebih memahami dan empati. Sikap anda yang prihatin, pastinya akan menambahkan rasa cinta isteri terhadap anda.

2. Jaga pemakanan isteri

Ramai suami yang mengabaikan aspek ini apabila isteri hamil dengan alasan si isteri tahu apa yang terbaik untuk diri mereka. Tanggapan ini salah kerana seiring dengan perubahan tubuhnya, wanita hamil juga memerlukan beberapa zat tertentu mengikut peringkat kehamilannya.

Sebagai suami yang prihatin, pastikan isteri anda menjaga pemakanannya dengan kesihatan janin dan dirinya. Jika mempunyai masa, apa salahnya luangkan masa untuk menemani isteri menjamu selera atau makan bersama-sama dengannya.

Anda juga jangan kedekut untuk berbelanja lebih untuk membelikan makanan berkhasiat untuk isteri. Tidak hanya soal pemakanan, isteri juga memerlukan masa rehat yang mencukupi agar pembesaran janin tidak terganggu.

Ketika inilah suami perlu lebih ringan tulang membantu isteri melakukan kerja-kerja rumah. Sikap anda yang sebegini, pasti membuatkan isteri terharu dan bertambah menghormati anda sebagai seorang suami.


3. Hindari stres

Sewaktu hamil, jangan sekali-kali memberikan tekanan kepada isteri. Anda sebagai suami perlu mengelakkan isteri daripada berdepan dengan sebarang masalah.

Jika boleh, anda cuba selesaikan masalah yang dihadapi tanpa memberitahu isteri. Jika terpaksa, beritahu isteri dengan cara yang paling santai agar isteri tidak terkejut mendengarnya.

Selain itu, jangan sekali-kali membenci perubahan bentuk tubuh isteri. Sebaliknya kagumi bentuk tubuhnya dan katakan isteri anda kelihatan lebih seksi ketika hamil.

Kata-kata anda mampu menenangkan hatinya dan mengelakkannya tertekan memikirkan anda mungkin mencari wanita lain yang lebih seksi di luar sana.

4. Temani berjumpa doktor

Kesudian anda menemani isteri untuk bertemu dengan doktor bagi mendapatkan rawatan memberikan makna yang cukup besar kepada isteri. Isteri akan berasa diri mereka disayangi dan dihargai.

Ia juga menandakan seseorang suami itu prihatin dan menyanyangi isteri serta anak yang dikandungnya itu. Namun ada juga suami yang mengambil mudah tentang perkara ini.

Mereka sanggup membiarkan isteri yang sarat hamil memandu sendiri atau menaiki bas untuk mendapatkan rawatan di klinik. Emosi isteri pastinya akan terganggu apabila melihat wanita lain ditemani suami masing-masing ketika mendapatkan rawatan.

Situasi ini sangat tidak sesuai buat isteri dan sebagai suami yang yang bertanggungjawab, anda perlu mengelakkan perkara ini daripada berlaku. Berikan isteri anda semangat dan sentiasa menemaninya sewaktu susah mahupun senang.

Sunday, February 14, 2010

Kesihatan - Skoliosis





Baru-baru ini seorang klien telah datang ke pejabat bertemu dengan saya untuk berbincang mengenai keadaan anak perempuannya yang berumur 14 tahun yang telah disahkan mengidap masalah tulang belakang dan bagaimana polisi insurans yang dicarum dapat membantu membiayai kos perubatan berjumlah RM 35,000 yang terpaksa ditanggung olehnya.

Sebagai ibu bapa, pasti amat sedih apabila mengenangkan kesihatan anak kesayangan yang terganggu akibat masalah tulang belakang yang amat jarang dialami oleh masyarakat di Malaysia. Apa yang saya kesalkan, ejen insurans beliau tidak menawarkan polisi yang betul dengan memasukkan keperluan kad perubatan yang boleh menanggung segala kos perubatan yang perlu disediakan. Sebaliknya ejen tersebut hanya mencadangkan pelan simpanan pendidikan yang tidak banyak membantu apabila mengalami situasi sebegini.

Walaupun kesal dengan keadaan tersebut, beliau bersyukur kerana masih diberikan kekuatan untuk menghadapi situasi yang amat kritikal ini. Sebelum perbincangan berakhr, kami telah bersetuju untuk sama-sama mengkaji tentang penyakit yang dihadapi oleh anak beliau sebagai penduan untuk masyarakat menilai dan bersedia dari segi kewangan, moral dan informasi dalam menghadapi situasi yang mencabar bagi diri sendiri, anak dan keluarga tersayang.

Hasilnya, saya ingin berkongsi dengan pelawat blog ini tentang risiko sakit tulang belakang yang dimaksudkan iaitu skoliosis.


Tulang belakang normal dan tidak normal (Scoliosis)

Tulang belakang yang membengkok atau skoliosis, bukanlah satu penyakit. Ia sebaliknya rujukan yang digunakan bagi menjelaskan keadaan bengkok yang berlaku pada tulang belakang.

Secara umumnya, tulang belakang secara semula jadi sememangnya bengkok sedikit bagi membantu bahagian atas badan mengekalkan keseimbangan jajaran pelvik. Bagaimanapun, apabila terlalu bengkok, inilah yang dimaksudkan sebagai skoliosis.

Remaja perempuan lebih kerap dikesan dengan masalah skoliosis, terutama jenis idiopathik skoliosis iaitu satu keadaan tulang belakang yang membengkok tanpa diketahui sebabnya dan berlaku sejak kecil lagi. Tulang belakang yang membengkok ini pula membentuk seakan-akan huruf C atau pun S.

Lazimnya, ia membabitkan kawasan bahagian atas belakang atau bahagian antara atas belakang dan bawah belakang badan. Bagaimanapun, ia juga mungkin hanya berlaku pada bawah belakang.

Pakar Runding Ortopedik Hospital Pakar Shah Alam, Dr Ariff Sukimin Mohd Shukri, berkata dalam beberapa jenis kes skoliosis, idiopatik skoliosis adalah yang paling biasa dikesan.

“Ia kerap kali dikesan di kalangan kanak-kanak berusia 10 hingga 16 tahun. Walaupun lelaki dan perempuan memiliki kecenderungan yang sama untuk berdepan dengan skoliosis, tetapi remaja perempuan lebih kerap dikesan dengan idiopathik skoliosis,” katanya.

Untuk remaja lelaki, masalah tulang belakang yang membengkok memerlukan pemeriksaan lanjut, malah skoliosis di kalangan lelaki ada kalanya memaparkan komplikasi daripada masalah lain.

Dr Ariff berkata, andai dibiar tanpa rawatan, waktu paling berisiko bagi pesakit ialah ketika mencecah usia akil baligh, kerana ketika itu pertumbuhan tulang pesakit sangat pantas.

Walaupun skoliosis umumnya mudah dikesan, tetapi bagi kes yang tidak teruk, seseorang itu hanya menyedari kelainan pada tulang belakangnya selepas membuat imbasan sinar-X ketika pemeriksaan kesihatan.

“Bagi kes yang tidak teruk, skoliosis mungkin boleh ditangani dengan terapi tetapi bagi kes serius, individu yang bermasalah itu perlu menjalani pembedahan,” katanya.

Kata Dr Arif, bagi kebanyakan kes yang membabitkan kanak-kanak perempuan, masalah tulang bengkok yang tidak dirawat akan menjadi semakin teruk. Tulang akan semakin membengkok apabila pesakit itu semakin membesar sekali gus menjejaskan penampilan dan pergaulan sosial penghidapnya.

“Mengesan skoliosis mudah. Apabila pesakit membongkok, belakang badannya tidak selari. Tulang belakang yang membengkok akan menonjol,” katanya.

Selain itu, mereka yang berhadapan dengan masalah skoliosis mengalami masalah sakit belakang yang kronik, kaki pendek sebelah, selain bahu juga tinggi sebelah dan pinggul yang tidak selari.

Pesakit yang tidak mendapat rawatan akan-akan semakin menderita seiring usianya. Tulang belakang bengkok menjejaskan jantung dan paru-paru dan menyukarkan pernafasan. Skoliosis yang progresif akan menjejaskan bahagian bawah tulang belakang (lumbar spine).

Pembedahan selalunya jalan terakhir apabila tulang belakang yang membengkok itu tidak boleh dipulihkan dengan terapi. Bagaimanapun, kosnya sangat mahal kerana memerlukan implan dipasang pada hampir sepanjang tulang belakang.

Namun begitu, kini terdapat pelbagai cara dan rawatan alternatif yang boleh merawat dan membetulkan tulang belakang. Terdapat pelbagai alat sokongan atau 'brace' yang dicipta untuk membantu menyokong keadaan tulang belakang supaya kembali lurus. Brace yang dimaksudkan khusus untuk membetulkan tulang lumbar yang menyebabkan skoliosis. Antara brace yang terdapat dipasaran dikenali sebagai SpineCor Brace, Thoraco-Lumbo-Sacral-Orthosis (TLSO) Brace (Boston Brace), Charleston Bending Brace dan Cervico-Thoraco-Lumbo-Sacral-Orthosis Brace (Milwaukee Brace).

Brace yang terbaru diperkenalkan adalah SpineCor Brace, dikeluarkan oleh sebuah syarikat alat perubatan berpengkalan di Switzerland. Pemasangan brace jenis ini tidak memerlukan sebarang pembedahan (dipasang setelah pembedahan asas pembentukan tulang dilakukan) kerana ia hanya melibatkan sokongan luaran berbanding brace keluaran syarikan yang lain. Namun, kos yang diperlukan agak tinggi iaitu sekitar RM 9,000.

Menurut pemerhatian saya, brace jenis ini hanya dibekalkan di hospital-hospital swasta. Hospital kerajaan biasanya menggunakan Boston Braces, sejenis alat sokongan buatan UK, yang memaksa pembetulan tulang belakang yang boleh menyebabkan kesakitan jika pesakit tersalah pergerakan.



Boston Brace

Kosnya pula agak murah namun dikhuatiri pesakit perlu bersedia menghadapi kesan jangka panjang atau pembedahan susulan untuk memastikan kedudukan tulang kembali normal. Berbanding penggunaan SpineCor Brace, pembetulan bentuk tulang belakang akan berlaku secara semulajadi tanpa perlu diberi tekanan.


SpineCor Brace

Dengan SpineCor, pesakit boleh melakukan aktiviti harian (kecuali berenang) dengan mudah dan pada masa yang sama tiada siapa yang boleh mengesan pesakit memakainya atau tidak kerana ia tidak tebal atau keras. Jika pesakit menggunakan Boston Braces, pergerakan pesakit adalah terhad dan pesakit akan kelihatan bergerak seperti robot. Aktiviti harian mereka juga terbatas.

Justeru, kita harus bersedia menghadapi kemungkinan ini. Maklumat yang mencukupi adalah perlu supaya kita boleh mendapatkan rawatan yang terbaik tanpa perlu melayani perkara-perkara yang tidak positif yang boleh memberi kesan jangka panjang dalam kehidupan kita.

Pesakit perlu mendapat pandangan kedua (second opinion) daripada doktor yang berbeza kerana dikhuatiri terdapat kepentingan atau prosedur tertentu yang telah ditetapkan oleh pihak hospital yang tidak mewakili kepentingan kita untuk mendapat perkhidmatan atau produk yang terbaik. Pilihan kedua (second choice) juga perlu, yang merupakan manifestasi kepada hak kita sebagai pesakit untuk memilih produk yang betul tanpa melibatkan paksaan untuk membuat pilihan yang kurang tepat, untuk kehidupan yang lebih harmoni dan selesa.


Ibubapa perlu prihatin dengan anak yang mengalami Scoliosis

Rujukan:
Scolliosis Specialist
Brace for Scoliosis

Tuesday, February 9, 2010

Destinasi Bulan Ini - Bersiar dengan Star Cruise






Star Cruise Super Star Virgo

Salam sejahtera..
Pastinya ramai yang tertanya-tanya di manakah destinasi tumpuan kita pada bulan ini. Sempena menyambut tahun baru 2010 ini, sudah tentu kita boleh mengubah 'taste' perjalanan dengan mencuba pengalaman yang lebih mencabar, lain dari yang lain dan hasilnya pasti sungguh memuaskan. Saya ingin mengajak anda merasai pengalaman menaiki kapal persiaran. Satu-satunya syarikat yang menjalankan perniagaan kapal persiaran yang berkonsepkan hiburan dan istirehat ialah Star Cruise yang dimiliki oleh Genting Holding Bhd dengan usahasama sebuah syarikat kapal persiaran Norway, Norwegian Cruise Line (NCL). Pengalaman menaiki kapal-kapal persiaran kendalian syarikat ini sememangnya mengagumkan. Star Cruise memiliki 5 buah kapal persiaran mewah yang masing-masing diberi nama SuperStar Virgo, SuperStar Aquarius, SuperStar Libra, Star Pisces dan MegaStar Aries. Tumpuan kita pada kali ini ialah dengan merasai keselesaan layanan 5 bintang di atas kapal persiaran terbesar dimiliki oleh Star Cruise, Super Star Virgo. Kapal ini mempunyai 13 tingkat dek yang memuatkan 906 kabin yang boleh menampung sebanyak 1,804 orang penumpang pada satu masa.

Pelbagai pilihan hiburan, keseronokan, aktiviti santai dan deretan restoran yang mnyajikan hidangan terkemuka diseluruh dunia terdapat di setiap dek Super Star Virgo ini. Arked video, kolam renang, gimnasium dan pusat perniagaan yang dilengkapi dengan peralatan telekomunikasi yang amat sofistikated dan tercanggih disediakan untuk kemudahan urusan peribadi atau perniagaan bagi keselesaan para penumpang.

Untuk percutian yang hebat, rasailah pengalaman menaiki Super Star Virgo yang membawa anda ke serata benua Asia di mana pertembungan matahari dan laut, budaya dan bangsa bersama dengan suasana yang amat harmoni. Rasai pengalaman bangun pagi di tengah-tengan lautan dan anda dapat menyertai kelas aerobik atau melakukan senaman joging sambil menikmati suasana matahari naik. Rehatkan diri anda di atas tilam empuk sambil menonton filem terbaru disediakan khas untuk tontonan anda dari seluruh dunia sambil menikmati sarapan pagi yang enak. Manjakan diri anda dan pasangan di pusat kecantikan, dandanan rambut dan layanan spa yang mengasyikkan. Di sini anda dapat bertemu dengan kenalan baru disamping berkongsi pengalaman dan anda berpeluang mendapat rakan kongsi perniagaan yang baru di sini!

Anak-anak anda juga dapat mempelajari sesuatu yang menyeronokkan di dalam kelas akademik yang berkonsepkan hiburan yang dikendalikan oleh tenaga pengajar yang berpengalaman. Selain itu, seperti sinonimnya kapal persiaran ini dengan air, bergembiralah di kolam-kolam renang yang dibina berkonsepkan taman tema air di dek atas. Anda juga mempunyai pilihan untuk memanjakan diri anda di kolam renang yang berkonsepkan jakuzi, bagi anda yang menginginkan privasi bersama pasangan.

Selain itu, terdapat pelbagai kemudahan yang anda perlukan disediakan di atas kapal dan anda pasti akan merasai segala-galanya ada di depan anda apabila anda berada di sini. Antara kemudahan yang disediakan ialah:

Restoran dan Bar

* The Taverna (Poolside snack bar)
* Café Gelato (Ice-cream, fresh fruit juices and desserts)
* Mediterranean Buffet and Terrace (International buffet)
* Samurai Restaurant (Japanese restaurant)
* The Taj (Indian (halal) buffet)
* Bellini (Champagne bar)
* Blue Lagoon (Southeast Asian favourites)
* Noble House (Chinese fine dining)
* Palazzo (Italian fusion specialty restaurant)
* The Pavilion Room (Chinese family style restaurant)
* Bella Vista (International dining)

Hiburan dan Santai

* Neptune's Wet and Wild
* Celebrity Disco
* Galaxy of the Stars (Live music, dance lounge and cocktail snacks, afternoon tea and cocktails)
* The Lido (Showlounge)
* The Picture House (Cinema/Auditorium)
* Out of Africa (Karaoke)
* Oasis (Games of chance)
* The Mahjong Room (Mahjong games)
* Celebrity Disco (Discotheque)

Sukan dan Kesihatan

* Apollo Spa and Fitness Centre
* Amphitheatre (Jumbo chess board, Jumbo checkers and table tennis)
* Universal Gymnasium (Gymnasium)
* Parthenon Pool (Outdoor swimming pool, jacuzzi (4), sunbathing)
* Aquaswim (Jet current exercise pool)
* Star Track (Jogging circuit)

Kemudahan Pelbagai

* Ports O'Call (Onboard shopping)
* Computer World (Computer centre in the child care centre)
* Starlight Video Arcade (Video games)
* Oscar's Hair and Beauty Salon (Hairdressing and beauty salon)
* Library/Writing Room (Book loans and reading room)
* Charlie’s Child Care Centre (Children’s playroom and nursery)

Mungkin ada yang tertanya-tanya tentang bajet yang diperlukan untuk menikmati layanan mewah di atas Super Star Virgo ini. Untuk pakej yang disediakan bagi tahun 2010 ini, bagi pakej perjalanan 5 Hari 4 Malam untuk laluan P. Klang - Hong Kong - Singapura - P. Klang, harga yang ditetapkan adalah di antara RM 2,010 (bilik Inside Stateroom) dan RM 2,710 (bilik Deluxe Oceanview Stateroom) seorang. Pasti ramai yang tidak sabar-sabar untuk menempah perjalanan yang tidak pernah terlintas difikiran sebelum ini. Berhubunglah dengan ejen pelancongan di kawasan anda atau anda boleh dapatkan maklumat terperinci di Terminal Star Cruise, Pulau Indah, Pelabuhan Klang. Anda juga boleh layari laman web rasmi Star Cruise di Star Cruise Official Website

Nikmatilah pemandangan indah dan mewah di atas Star Cruise Super Star Virgo dan rasailah kehebatannya!


Apollo Spa Fitness



Aqua Swim



Bella Vista



Blue Lagoon



Charlies Child Care



Grand Piazza



Grand Piazza



Neptunes Wet Wild



Out of Africa



Parthenon Pool



Parthenon Pool



Junior Suite



Junior Suite



Deluxe Oceanview with Balcony



Star Track



The Lido



The Promenade



The Promenade



The Taverna





Super Star Virgo

Tuesday, January 5, 2010

Usir 5 racun cinta..





Pasangan yang sedang bercinta sering merasakan hidup mereka begitu indah dan bahagia. Namun jangan terlalu selesa dengan hubungan cinta yang terjalin.

Hakikatnya, cinta seperti sepohon pokok yang baru ditanam. Ia perlu sentiasa dibaja dan disiram agar kekal subur. Jangan sekali-kali membiarkan pohon yang anda jagai itu dimakan anai-anai, ulat atau serangga perosak yang lain.

Begitu jugalah dengan cinta. Kasih sayang yang melimpah ruah bukan jaminan untuk memastikan cinta yang terjalin itu akan kekal bahagia selamanya.

Namun apa yang paling penting, jauhkan percintaan yang terjalin daripada racun-racun yang boleh merosakkan dan akhirnya, membinasakan cinta. Paling bahaya, racun cinta selalunya bukan hadir daripada orang lain, sebaliknya wujud di dalam diri anda sendiri.

Mungkin kamu tidak tahu akan racun yang dimaksudkan. Oleh itu, ikuti panduan dibawah. Usir racun yang ada di dalam diri anda itu dan tukarkannya dengan penawar yang bersesuaian.

Racun 1: Berbohong
Apabila si dia mengajak anda makan di restoran makanan segera kegemarannya, anda sentiasa mengikut tanpa sebarang bantahan. Kemudian apabila si dia bertanya tentang makanan yang dihidangkan, anda menyatakan makanan di situ sangat sedap dan kena dengan selera anda. Hakikatnya di dalam hati, anda merungut kerana tidak berselera menjamu selera di situ dan berharap itulah kali terkahir anda menjamu selera di restoran tersebut

Penawar: Jujur
Pembohongan paling elok jika digantikan dengan sifat jujur dan berterus-terang. Mungkin untuk kali pertama anda terpaksa berbohong kerana tidak sampai hati untuk mengecewakannya. Tetapi jika pembohongan demi pembohongan anda lakukan secara berterusan, nescaya ia akan memakan diri anda sendiri pada masa akan datang. Tidak perlu takut untuk mengatakan perkara sebenar kerana kejujuran yang anda nyatakan lebih bermakna kepada si dia daripada menjamu selera di restoran tersebut.

Racun 2: Egois
Tidak dinafikan di dalam diri setiap individu punya sikap ego walaupun kecil. Malah ada juga segelintir orang yang mahu keinginannya dituruti walaupun untuk perkara-perkara yang terlalu kecil. Namun harus dingat, permintaan tersebut perlulah relevan dengan keadaan dan situasinya.

Apabila si dia menolak permintaan anda, mulut anda tidak henti-henti mengomel dan menuduh si dia mementingkan diri sendiri. Namun apabila anda diminta melakukan sesuatu dengan mudah anda menolak. Apabila si dia memberontak, anda tuduh pula si dia tidak mengerti perasaan anda. Langsung tiada tolak ansur dalam hubungan yang terjalin.

Penawar: Memahami
Salah satu kunci keharmonian dan kebahagiaan dalam sesebuah perhubungan adalah sikap saling memahami dan bertolak ansur antara satu sama lain. Memang diakui adakalanya sukar untuk menahan diri kita daripada terus bersikap egois, namun ada masanya kita juga perlu memikirkan hati dan perasaan orang lain.

Cara terbaik untuk menghilangkan sikap egois dalam diri anda, cubalah letakkan diri anda di tempat pasangan anda apabila anda meminta si dia melakukan sesuatu. Fikirlah wajar atau tidak permintaan anda itu dituruti dan adakah diri anda sendiri sanggup untuk melakukannya? Apabila anda sentiasa berfikir begitu, keputusan serta permintaan yang keluar daripada mulut anda pastinya lebih rasional dan tidak diselubungi oleh perasaan egois semata-mata.

Racun 3: Curiga
Seorang wanita menelefon teman lelaki anda. Tanpa sebarang usul periksa anda mengatakannya curang. Pada mulanya, pergaduhan yang tercetus hanya kecil sahaja tetapi anda terus mengungkit kisah-kisah lama termasuklah hubungannya dengan bekas kekasih dahulu.

Sedangkan wanita yang menelefonnya itu hanyalah teman sepejabat dan mahu bertanyakan perkara yang berkaitan dengan kerja yang amat penting. Sikap anda yang curiga tanpa usul periksa itu hanya akan mengeruhkan keadaan dan tanpa anda sedari ia mampu menggugat hubungan cinta yang telah sekian lama terbina itu.

Penawar: Percaya
Jika selama ini si dia terbukti setia kepada anda, tiada sebab untuk anda mencurigainya dengan hanya satu panggilan telefon yang dibuat oleh teman sepejabatnya. Sebaiknya anda minta penjelasan daripadanya dan si dia pasti bersedia untuk menjelaskannya kerana dia tidak pernah bersalah kepada anda.

Jika anda terus meletakkan kesalahan kepadanya, tidak mustahil kekasih anda yang setia itu akan benar-benar 'bermain kayu tiga' di belakang anda. Maklumlah daripada terus dituduh sedangkan si dia tidak melakukannya, lebih baik dia melakukannya betul-betul. Sekurangnya-kurangnya si dia berpuas hati dengan tuduhan yang anda lemparkan itu.

Racun 4: Posesif
Janganlah bersikap terlalu posesif terhadap pasangan anda. Atau dengan erti kata lain terlalu mengawalnya sehingga sampai ke tahap mengongkong. Malah anda sanggup menghabiskan ratusan ringgit setiap bulan semata-mata untuk mengetahui pergerakannya. Apa tidaknya, setiap lima minit anda akan menelefonnya.

Bukan untuk bertanya khabar sebaliknya untuk memastikan si dia sedang bersama siapa atau di mana berada. Sikap anda yang terlalu posesif itu akhirnya akan membuatkan si dia tidak selesa. Lebih teruk apabila si dia meminta untuk memutuskan perhubungan atas alasan tidak selesa dengan sikap anda itu.

Penawar: Beri ruang 'privacy'
Sesiapa sahaja di dunia ini memerlukan ruang 'privacy' sendiri. Oleh itu, jika anda tidak mahu hubungan yang terbina berantakan, percayalah kepadanya dan biar si dia menjalani kehidupannya sepertimana yang dikehendakinya. Tidak salah untuk memerhati atau menegur, tetapi biarlah berpada-pada dan dengan cara yang betul. Jika anda melakukannya secara tidak keterlaluan, si dia pasti akan lebih menghargai anda yang sentiasa berada di sisinya apabila dia memerlukan.

Racun 5: Main-main mata
Manusia memang tidak pernah puas dengan apa yang diperolehinya. Sudah punya teman lelaki yang kacak dan baik hati, tetap akan menjeling ke arah lelaki lain apabila berkesempatan. Sikap anda yang suka bermain mata dengan lelaki lain ini sebenarnya mampu merosakkan hubungan cinta yang terjalin.

Mungkin anda hanya berniat untuk 'main-main sahaja', tetapi bagaimana jika lelaki yang anda jeling itu memberikan responnya? Pasti boleh menimbulkan sengketa. Malah bukan semua pasangan kekasih boleh menerima perlakuan yang sebegitu. Ini kerana ianya boleh mencabar status mereka sebagai teman lelaki anda.

Penawar: Setia
Jalan terbaik belajarlah untuk bersikap setia dengan pasangan masing-masing. Sudah pasti si dia merupakan kekasih yang terbaik buat anda. Ini kerana selama anda berhubungan mesra dengannya, tidak pernah si dia menjeling atau memandang ke arah wanita lain walaupun wanita tersebut jauh lebih cantik dan seksi daripada anda. Itu membuktikan si dia menghargai anda yang berada di sisinya. Jika si dia boleh melakukannya, tiada alasan untuk anda terus mencuri pandang ke arah lelaki lain.

Sunday, December 20, 2009

Ukur Cinta Melalui Warna






Benarkah warna kesukaan boleh menjadi kayu ukur kepada rasa cinta seseorang? Walaupun ada pihak yang kurang bersetuju, namun adakalanya warna yang diwakili mampu menyatakan perasaan sebenar kamu terhadap si dia.

Oleh itu, apa kata kita cuba mengukur cinta melalui warna. Apa yang penting, untuk melihat kejayaannya anda perlu mengetahui warna kesukaan anda serta pasangan.

Jangan sesekali berfikir bahawa menyukai warna yang sama, menjadikan kamu berdua sebagai pasangan yang serasi. Hakikatnya, cinta perlukan kombinasi warna yang berlainan agar cinta yang terjalin menjadi lebih ceria, harmoni dan romantis.

1. Merah + Biru
Si biru seorang yang suka beralah dan berjiwa lembut. Namun, jangan pula sesekali kamu mengambil kesempatan ke atas jiwanya yang lembut itu. Kebanyakan mereka yang menyukai warna biru seorang yang berjiwa seni.

Si merah pula selalunya lebih agresif dan keras hati. Meraka selalunya tidak segan silu untuk melakukan langkah pertama asalkan apa yang mereka hajati terlaksana. Kalau boleh setiap apa yang mereka ingini harus diturutkan.

Dalam konteks pasangan pula, kombinasi si merah dan si biru akan menjadikan hubungan yang terjalin lebih ceria. Apa yang paling penting adalah sikap saling bertolak ansur dan haruslah membina rasa persefahaman agar percintaan yang terjalin kekal untuk selamanya.

2. Hijau + Oren
Dua kombinasi warna yang agak kurang serasi. Ini kerana mereka yang menyukai warna ini dikatakan agak manja dan bukan seorang yang suka berdikari. Mereka juga dikatakan suka dibelai dan disayangi.

Jika mereka tidak mendapat apa yang mereka mahukan dari insan tersayang, mereka mudah naik angin dan akhirnya hubungan yang terjalin putus di tengah jalan.

Bagi pasangan yang mahu terus mencuba, mereka perlu selalu bersabar dan sentiasa berbincang apabila wujud sesuatu masalah yang menggugat perhubungan mereka. Dengan perbincangan dari hati ke hati, ia mampu menyelamatkan cinta yang terjalin di antara si hijau dan si oren.

3. Biru + Hijau
Kombinasi si biru dan si hijau dikatakan kombinasi yang paling sempurna. Tidak banyak masalah yang wujud di antara mereka kerana pasangan jenis ini saling sayang-menyayangi, bertolak ansur dan memahami antara satu sama lain.

Walaupun ada sahaja cabaran di dalam hubungan cinta mereka, mereka dengan mudah mengatasinya. Sikap mereka yang matang serta tidak mudah percaya kepada khabar angin menjadikan si biru dan si hijau cukup serasi bersama.

Malah percintaan yang terjalin di antara si biru dan si hijau juga selalu dicemburui oleh rakan-rakan sekeliling. Namun mereka tidak pernah merasa bangga diri kerana percaya setiap orang berhak untuk mencari kebahagiaan sendiri.

4. Merah + Oren
Kombinasi warna merah dan oren pula dikatakan kurang sesuai. Ini kerana personaliti mereka yang menyukai kedua-dua warna ini dikatakan sangat agresif dan lasak.

Jika menjalinkan hubungan yang istimewa sekalipun, mereka jarang menyatakan rasa cinta kepada pasangan. Ini kerana mereka lebih gemar mengamalkan konsep, cinta tidak perlu dinyatakan dengan perkataan-perkataan romantis, cukup sekadar perhatian yang diberikan.

Oleh sebab itu, si merah dan si oren dikatakan kurang sesuai untuk bersama. Mereka seharusnya mencari seorang yang berjiwa halus dan romantik agar jiwa mereka yang keras itu dapat dilembutkan. Rasanya si biru cukup sesuai buat mereka.

Tuesday, December 8, 2009

Malaysian Cuisine - Mi Udang




Nampak sedap kan?


Memang sedap pun!

Di Malaysia ni ada banyak tempat makan yang menarik. Ada yang mahal, tempat yang murah pun tak kurang sedapnya. Pada saya, asalkan tempat tu bersih sudah memadai untuk pesan menu yang sedap-sedap disamping bajet yang ada pada masa tu. Yang penting harganya mestilah berbaloi dengan rasa makanan dan keselesaan tempat tu.


Kali ini saya nak kongsi menu yang ramai juga antara kita yang belum pernah cuba. Mungkin ada yang pernah cuba, tapi tempatnya mungkin tak sama dengan yang ini. menu kegemaran saya kali ini ialah Mi Udang Sungai Dua.

Saya mula dengar cerita pasal tempat ni dah lama dah. Tempatnya pun tak jauh sangat dari kampung saya di Butterworth. Lebih kurang 3 km je. Tapi tak penah terfikir pun nak singgah sbb dah biasa makan kat rumah je. Balik kampung pun kejap2 je, Tokwan mmg suruh makan kat rumahla kan. Lokasinya di Taman Desa Murni, Sg. Dua. Restoran Aur Gading ni dimiliki oleh pasangan dari Thailand tapi dah lama menetap di sini. Pekerjanya jugak ramai yang dari Siam. Tempatnya cantik, tepi sungai, sebelah jambatan. Dulu jambatan ni namanya 'titi timbul'. Pelik kan? Sebab asalnya jambatan ni dibuat dari besi dan kayu, tidak menggunakan tiang tetapi pelampung besi! Lori balak pun boleh lalu. Tapi skarang ni dah digantikan dengan jambatan konkrit.


Apa yang best sangat dengan restoran ni? Mula2 masuk ke dalam restoran kita kena pilih dulu udang yang kita nak. Bukan udang saja, kerang, lala, ikan, sotong semuanya ada. Udang pun ada bermacam2 jenis. Ada udang harimau, kapas, galah & kara. Semuanya disusun di buffet line yang khas. Segar2 lagi! Kalau tak cukup segar, kita boleh ke belakang restoran untuk menangkap udang hidup dalam kolam (yang baru ditangkap di sungai).


Sementara menunggu udang dimasak dengan mi, kita boleh berehat di bilik berhawa dingin sambil menonton televisyen atau membaca surat khabar. Biasanya masakan akan tersedia kurang dari 20 minit. Dengan aromanya, fuhh! Memang tak boleh tahan. Makan saja sehingga licin kuahnya. Mesti tak puas rasanya kalau sekali tu saja. Lain kali mesti rasa macam nak datang lagi. Restoran ni dah memang terkenal bukan saja bagi orang2 P.Pinang, Kedah dan Perlis malah ramai yang datang dari Johor dan K.Lumpur. Mungkin sebab keenakannya sukar ditemui di tempat lain. Cubalah!

Monday, December 7, 2009

Kesihatan - Diabetes





• Ada kira-kira 1.2 juta pesakit diabetes di negara ini.

• Lebih daripada separuh tidak sedar bahawa mereka menghidap diabetes sehinggalah mereka dirawat apabila berlaku salah satu komplikasi yang serius.

• Masyarakat Malaysia sering tidak berfikir tentang kandungan gula dan kalori makanan yang kita makan.

• Ini digabungkan pula dengan gaya hidup moden yang kurang aktif.

• Kita tidak patut bersikap endah tak endah dengan anggapan bahawa kita tidak akan terkena penyakit ini.

• Mereka yang mempunyai sejarah keluarga penyakit diabetes supaya kerap menjalani pemeriksaan aras gula kerana pengesanan awal dapat mencegah komplikasi.

• Komplikasi yang berkait dengan diabetes kini merupakan salah satu punca kematian yang utama di banyak negara terutamanya melalui peningkatan risiko penyakit kardiovaskular.

• Setiap 10 saat seorang mati akibat punca yang berkait dengan diabetes. Diabetes juga merupakan sebab kematian akibat penyakit yang keempat tertinggi di dunia dengan 3.8 juta kematian.

• Persekutuan Diabetes Antarabangsa menganggarkan bahawa jangka hayat berjumlah 23 juta tahun hilang disebabkan ketidakupayaan dan mutu hidup yang merosot akibat komplikasi diabetes yang boleh dicegah.

• Penghidap diabetes perlu mengekalkan aras glukosa darah mereka dalam lingkungan sasaran rawatan. Ini dapat mencegah komplikasi akibat penyakit itu dan mengekalkan mutu hidup yang baik.